
21 Jul Atlet Sarawak diingat tidak terpalit isu doping pada SUKMA 2024
KUCHING: Atlet Sarawak yang bakal memberi cabaran pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di laman sendiri diingatkan untuk tidak mengambil bahan terlarang yang sekali gus memberi kesan terhadap prestasi mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, atlet Sarawak bebas daripada penyalahgunaan bahan terlarang atau doping dalam edisi-edisi SUKMA sebelum ini.
“Ini menunjukkan imej kita dan kita perlu kekalkan prestasi ini pada SUKMA yang akan datang.
“Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama memastikan agar atlet-atlet yang berentap pada SUKMA yang akan datang untuk menjaga imej Sarawak dan bebas daripada penyalahgunaan bahan terlarang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Sesi Perkenalan Anti-Doping bersama Jurulatih dan Wakil Persatuan di Bilik Seminar Pusat Akuatik Pandelela Rinong di sini, hari ini.
Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Sarawak itu menjelaskan, program berkenaan salah satu program penting untuk jurulatih elit dalam usaha mereka mendidik dan memantau jenis-jenis ubat yang diambil oleh atlet di bawah kendalian masing-masing.
“Uruskan atlet dengan sebaik mungkin supaya tidak berlakunya isu doping dalam kalangan mereka.
“Kesedaran mengenai bahaya bahan terlarang ini perlu diingatkan setiap masa kerana tindakan itu boleh menjejaskan prestasi atlet.
“Begitu juga dengan atlet, perlu berusaha bersungguh-sungguh kerana tiada jalan pintas untuk mencapai kejayaan dan mereka perlu bersedia dari segi mental serta fizikal dan pemakanan untuk berdepan cabaran,” tegasnya.
Pada majlis itu, seramai 63 jurulatih mewakili 32 jenis sukan terlibat dalam majlis yang dianjurkan oleh SSC dengan kerjasama MSN Sarawak.
Turut hadir ialah Pemangku Ketua Bahagian Prestasi Tinggi SSC Joshua Kudi Philip Linggir, Ketua Unit Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran SSC Ahmad Jumry Kassim dan Ketua Unit Sekretariat Persediaan Kontinjen Sukma MSN Sarawak Abdul Muktalib Mohamad.
Sumber : Utusan Borneo Online