Abdul Karim tidak gembira beberapa atlet Sarawak berhenti daripada kem kebangsaan

KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah tidak gembira dengan beberapa atlet dari negeri ini yang berhenti daripada kem kebangsaan. 

Menurutnya, beliau tidak tahu sebab atlet-atlet terbabit berhenti tetapi antara daripada mereka ialah perenang negara, Welson Sim yang merupakan pemenang tiga pingat emas Sukan SEA. 

“Saya tidak gembira dengan apa yang berlaku kerana ia melibatkan atlet Sarawak. Saya belum meneliti perkara ini tetapi kementerian kami dan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) akan cuba melihat di mana kita dapat membantu atlet-atlet tersebut. 

“Ini kerana masa untuk seseorang bersaing dalam dunia sukan adalah tidak lama dan jika mereka tidak dibantu, elaun tidak diberikan, penginapan tidak disediakan… ini yang terjadi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) antara SSC bersama Sarawak United FC dan Kuching City FC di sini hari ini.
 
Abdul Karim berkata, keseluruhannya lebih daripada 100 atlet berdepan dengan masalah ini dan beberapa daripada mereka adalah dari Sarawak. 

“Kita tidak mahu ambil tahu politik yang berlaku dalam sukan di Semenanjung Malaysia. 

“Tetapi di Sarawak, kementerian saya akan cuba membantu menjaga kebajikan dan keperluan atlet-atlet dari negeri ini,” jelasnya.  

Ketika berucap pada majlis tersebut, Abdul Karim mengucapkan tahniah kepada SSC, Sarawak United FC dan Kuching City FC atas pemeteraian perjanjian tersebut dalam usaha membangunkan sukan bola sepak di negeri ini. 

Katanya, kerjasama antara SSC bersama dua kelab bola sepak Sarawak ini merupakan satu usaha yang baik ke arah pembangunan sukan bola sepak di negeri ini. 

“Saya berharap kedua-dua pasukan iaitu Sarawak United FC dan Kuching City FC dapat melatih lebih ramai pemain-pemain baharu dapat diserapkan dalam pasukan negeri mahupun pasukan lain,” katanya. 

Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Belia dan Sukan Dato Gerald Rentap Jabu, Menteri Muda Pembangunan Usahawan Ripin Lamat, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSC Semawi Mohamad, Pengerusi Kuching City FC Fazzrudin Abdul Rahman, Pengerusi Sarawak United FC Mohamad Saif Zubaidi serta yang lain. 
Sumber : Utusan Borneo Online



Sarawak Sports Corporation