23 Mar 40 sertai cabaran Muaythai Samarahan
KOTA SAMARAHAN: Cabaran Muaythai Samarahan 2023 yang berlangsung di Medan Selera Nasi Abe, di sini pada hujung minggu lalu mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila menyaksikan seramai 40 peserta terlibat termasuk kanak-kanak.
Saingan berlangsung selama sehari dengan beberapa kategori dipertandingkan. Antaranya, Superfight Pro, Semi Pro, Muay Sports serta kanak-kanak lelaki dan perempuan.
Ia dianjurkan oleh Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama Persatuan Muaythai Malaysia, Persatuan Muaythai Samarahan, Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).
Presiden PMNS Jumaat Ibrahim berkata, seperti edisi sebelumnya, cabaran ini juga menjadi platform kepada persatuan mencari bakat baharu yang berpotensi untuk diserap dalam skuad negeri.
“Semua sedia maklum bahawa Sarawak telah sah dipilih sebagai tuan rumah Sukma 2024 dan Muaythai salah satu acara sukan yang turut dipertandingkan.
“Justeru, pihak persatuan akan terus mempergiatkan usaha mencari atlet-atlet yang berpotensi untuk diserap dalam skuad negeri bagi menghadapi temasya berprestij negara itu,” ujar Jumaat.
Tegas beliau, melalui penganjuran kejohanan seperti ini ia secara tidak langsung memberi peluang kepada peserta mempamer bakat masing-masing.
Sumber : Suara Sarawak