1,288 peserta sertai program Deka Fit Sarawak 2022

KUCHING: Penyertaan Deka Fit Sarawak 2022 yang dianjurkan buat kali pertama di rantau Asia Tenggara menerima penyertaan yang menggalakkan daripada golongan wanita berbanding lelaki.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, daripada 1,288 keseluruhan peserta, 70 peratus adalah golongan wanita.

“Mungkin golongan lelaki sekarang sibuk berkempen,” katanya secara bergurau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian DekaFit Sarawak di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Tambah beliau, program seperti itu adalah baik untuk kesihatan selain menggalakkan aktiviti pelancongan di Sarawak.

Ujarnya, berharap program tersebut akan dianjurkan sekali lagi pada masa akan datang.

Sementara itu, sekitar 12 buah negara dari seluruh dunia seperti Singapura, Afrika Selatan, Brunei, New Thailand, Australia, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam, Hong Kong, Filipina, dan lain-lain berentap dalam kejohanan tersebut.

Kejohanan yang berlangsung dua hari itu, mempertandingkan tiga kategori  iaitu kategori terbuka, kategori kumpulan umur, dan kategori elit lelaki dan wanita hari ini.

DekaFit pertama kali diadakan di Kuching dianjurkan oleh Persatuan Lumba Padang Berhalangan Sarawak (Spartan) yang disokong oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya Malaysia serta Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.

Turut hadir, Pengarah Bomba dan Penyelamat Sarawak Datu Khirudin Drahman@Hussaini, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP), Datu Hii Chang Kee dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Morshidi Fredrick.

Hadir sama Ketua Spartan Global Michael Goodwin dan Presiden Spartan Gordon Chung.

Sumber : Suara Sarawak



Sarawak Sports Corporation