15 Jan 12 venue dipilih untuk SUKSAR
SIBU: Sebanyak 12 venue di sini telah dipilih untuk penganjuran 13 jenis sukan pada temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi Ke-3 bermula 15 hingga 18 Januari ini.
Venue yang dipilih ialah Jalan Sibu Jaya-Julau dan Taman Jubli Bukit Aup untuk acara berbasikal, Dewan Melayu Melanau (angkat berat), Stadium Bola Tampar Taman Rejang (bola tampar), Gelanggang Bola Keranjang KRT Sungai Antu (bola keranjang), Gelanggang Futsal Kampung Nangka (Futsal), Dewan Sepak Takraw Kampung Bandong (sepak takraw) dan Stadium Tertutup Bukit Lima (hoki).
Turut terpilih sebagai venue ialah Sekolah Menengah (SM) Wong Nai Siong (wushu), Stadium Tertutup Sibu (tinju dan taekwondo), Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim Sibu Jaya (judo dan karate) dan Dewan MUC Kampung Nyabor (pencak silat).
Residen Bahagian Sibu Datu Wong Hee Sieng berkata, Desa Sanyan yang mempunyai empat blok dengan 256 bilik di Kolej Laila Taib (KLT) di sini akan dijadikan sebagai perkampungan sukan dimana para atlet dijangka tiba di sini secara berperingkat mulai Sabtu ini (13 Januari).
“Kita sebagai kontijen Zon Tengah khususnya Sibu sudah bersedia untuk menganjurkan acara ini selaku tuan rumah.
“Semua kemudahan dan fasiliti lokasi yang menjadi venue acara-acara sukan SUKSAR berada dalam keadaan baik serta bersedia untuk digunakan,” ujar beliau semasa sidang media di sini, semalam.
Beliau berkata, majlis perasmian SUKSAR akan diadakan pada 15 Januari di Stadium Tertutup Sibu yang akan disempurnakan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Hamzah.
Manakala majlis penutupannya, jelas beliau dijangka akan disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sementara itu, Wong berharap penganjuran SUKSAR ini dapat memperkasa semangat kesukanan, selain membolehkan atlet menimba pengalaman bertanding, bersukan dan mempertingkat usaha agar berjaya.
Justeru, beliau mengharapkan temasya ini dapat melahirkan atlet yang berprestasi tinggi. Menyentuh mengenai atlet yang akan mengambil bahagian, Wong memberitahu seramai 1,365 atlet sudah mendaftar untuk mengambil bahagian.
“Namun jumlah atlet juga dijangka bertambah dari semasa ke semasa.
“Bilangan bagi kontinjen kita iaitu atlet dari wilayah tengah mempunyai kira-kira 300 orang untuk mengibarkan cabaran pada kali ini selaku tuan rumah,” jelas beliau.
Temasya empat hari itu menyaksikan pertembungan empat kontinjen mewakili zon berbeza. Antaranya, Zon Selatan (Kuching, Kota Samarahan, Serian), Zon Barat (Sri Aman, Betong, Sarikei), Zon Tengah (Sibu, Mukah, Kapit) dan Zon Utara (Bintulu, Miri, Limbang).
Sumber : Suara Sarawak