Menjelang Sukma 2020: Sedaya upaya untuk juara

12 Februari 2020 –  KONTINJEN Sarawak akan berusaha sedaya upaya untuk merampas semula kejuaraan Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang akan berlangsung di Johor pada 11-19 Julai depan. Menurut Sekretariat Sukma Sarawak, Ahmad Rodzli, ia merupakan satu cabaran besar dan menuntut komitmen semua pihak.

“Kita akui ia sukar, namun kita akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan gelaran juara dapat dibawa pulang,” katanya ketika Mesyuarat Publisiti Sekretariat Johor Sukma XX-2020 bersama-sama media di di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, semalam.

Oleh itu katanya, kerjasama daripada semua pihak yang terlibat, termasuk media amatlah penting. “Berdasarkan pengalaman kita sebelum ini, kebanyakan masyarakat kita tahu apa itu Sukma… namun mereka tidak tahu secara terperinci. “Oleh itu, pihak kami amat memerlukan kerjasama pihak media untuk mempromosikan Sukma kepada khalayak masyarakat kita,” kata Ahmad

“Sekurang-kurangnya mereka di luar sana mengetahui serba sedikit tentang Sukma. “Misalnya tentang tarikh Sukma, atlet yang akan bersaing, mahupun jumlah acara yang dipertandingkan. Jadi di sinilah peranan media amat penting,” jelasnya.

Sarawak akan mempertaruhkan sekitar 600 atlet yang akan bertarung dalam 31 acara. Kali terakhir kontinjen Sarawak menjuarai Sukma ialah pada 1994. Sebelum itu, Sarawak juga pernah juara pada 1992 dan 1990.

Namun sehingga kini Sarawak belum lagi mampu merampas kejuaraan dan hanya berbangga dengan beberapa gelaran naib juara. Oleh itu, Sukma 2020 dilihat sebagai pentas untuk merampas semula kejuaraan setelah 26 tahun kemarau juara.

Source : Suara Sarawak  Oleh : Lydia Aman