AUDRAY DINOBAT RAJA PECUT SUKSAR II

EMAS: Audray (lima kanan) menyumbangkan pingat emas untuk Zon Barat dalam acara pecut 100 meter di Stadium Miri semalam.

MIRI: Audray Macshaquille Hillary dari Zon Barat mencipta rekod baharu dalam acara pecut 100 meter temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) edisi kedua dengan mencatat masa 10.91 saat pada saingan akhir di Stadium Miri petang semalam.

Audray, 15, kini masih menuntut di Sekolah Sukan Terengganu meleburkan rekod SUKSAR iaitu 11.11 saat menewaskan pesaing rapat dari Zon Utara, Edward Adau Perit dan Dion Dexter Kedang masing-masing meraih 10.99 saat.

“Ini adalah emas sulung saya pada kejohanan SUKSAR kerana sebelum ini saya pernah menyertai acara sama pada kejohanan Majlis Sukan Negeri (MSN) tetapi gagal meraih sebarang pingat,” katanya ditemui di sini semalam.

Anak kelahiran Sri Aman itu berpuas hati kerana dapat menyumbangkan pingat emas kepada Zon Barat dan beranggapan bahawa penat lelahnya selama ini terbayar dengan meraih pingat emas.

Bagi acara wanita, Floristhy Loura Paul dari Zon Selatan turut mencipta rekod baharu dalam acara pecut dengan catatan masa 12.68 saat berbanding rekod kejohanan 13.10 saat.

Floristhy meninggalkan peserta tuan rumah (Zon Utara), Patricia Lenny Robert yang mencatatkan 13.06 saat. Tempat ketiga acara itu milik Erissca Peter yang mencatatkan 13.27 saat.

Dalam acara 400 meter lari berpagar lelaki, Christ Endree Molem menambah pingat emas untuk Zon Selatan selepas memadamkan rekod SUKSAR iaitu 58.88 saat.

Christ yang meraih 55.86 saat menewaskan rakan sepasukan, Elvin Yap yang merekodkan 56.79 saat sementara gangsa milik Maxxius Phillp (56.68 saat).

Bagi acara 400 meter lari berpagar wanita, Norafifah Hijrah mencipta rekod baharu kejohanan dengan mencatatkan 71.44 saat sekali gus meleburkan rekod lama iaitu 76.73 saat.

Atlet dari Zon Selatan itu meninggalkan atlet tuan rumah, Jong Li Li yang mencatatkan 72.61 saat dan Catherine Amban (Zon Barat) dengan 74.51 saat sekali gus meraih gangsa.

Sementara itu, Goliath Valeron Sili (Zon Utara) turut meleburkan rekod SUKSAR dalam acara 5000 meter dengan catatan masa terbaharu 17.50 saat.

Pesaingnya, Lucas Wong (Zon Utara) meraih 18.01 saat sementara Martyn Lim (Zon Tengah) mencatatkan 18.13 saat.

Sumber : Utusan Borneo Online  Oleh : Mohamad Norhadie Sahari