500 Atlet Mengesahkan Penyertaan

 

KUCHING: Seramai 500 atlet dari 12 negara mengesahkan penyertaan bagi Kejohanan Terbuka Antarabangsa Boling Tenpin Sarawak 2019 bakal diadakan di Megalanes Emart, Batu Kawa di sini bermula 7 hingga 10 September depan.

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata Kementerian Belia dan Sukan telah menerima penyertaan daripada 12 negara setakat ini.

Beliau merupakan pengerusi penganjur kejohanan berkata, atlet-atlet terbabit adalah dari Amerika Syarikat (AS), Singapura, Filipina, Thailand, Indonesia, Chinese Taipei, China, Jepun, Korea, Brunei, Malaysia dan Pakistan.

“Kita tahu ada penyertaan pada saat akhir daripada tiga buah negara Timur Tengah seperti Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait,” katanya pada sidang media Mesyuarat Kedua Kejohanan Terbuka Antarabangsa Boling Tenpin Sarawak 2019 di Stadium Negeri di sini semalam.

Mengulas penyertaan amat memberangsangkan itu, Snowdan berkata penganjuran kali ini amat berbeza daripada sebelumnya justeru para peserta tertarik untuk menyertainya.

Katanya, lebih menarik apabila penganjur turut menjemput pemain legenda sukan boling seperti Amleto Monacelli dari Persatuan Profesional Bowling USA bakal tiba di sini pada 4 September nanti.

“Walaupun agak kritikal ketika ini untuk penyertaan beberapa kategori pada kejohanan tersebut namun kita percaya ia dapat diatasi dengan baik.

“Kita sudah bersedia untuk ketibaan ramai pemain antarabangsa ini atur cara yang baik kerana mereka dapat membawa pemain-pemain boling yang berstandard antarabangsa,” jelasnya.

Menurut Snowdan, menerusi kejohanan ini pemain-pemain kita berpeluang bertanding dengan mereka di peringkat antarabangsa sekali gus meningkatkan prestasi serta kebolehan mereka.

Beliau menjelaskan kerajaan Sarawak begitu fokus kepada pembangunan kemudahan sukan kerana menerusinya dilihat dapat membantu pembangunan sektor pelancongan di negeri ini.

“Pada masa sama, ia menjadi medan kepada pemain-pemain tempatan untuk mengilap bakat masing-masing agar setaraf dengan pemain-pemain antarabangsa,” katanya.

Snowdan percaya pembahagian Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian dengan Kementerian Belia dan Sukan bakal membuahkan hasil yang lebih baik.

Menurutnya, kerajaan negeri mempunyai pelan jangka panjang dan kementerian baharu itu akan diperuntukkan bajet sendiri bagi membolehkan pihaknya menganjurkan sukan peringkat negeri dan bertaraf antarabangsa.

“Dengan cara ini kita dapat fokus dan mempunyai setiausaha tetap sendiri dengan perancangan sukan, atlet-atlet, belia dan mempunyai kakitangan serta bahagian boleh memfokuskan kepada pembangunan sukan di Sarawak.

“Dahulu kita berkongsi bajet dan agak terhad kini kita seolah-olah seperti mempunyai kenderaan sendiri dan minyak sendiri serta dapat digerakkan bagi tempoh jangka panjang,” jelasnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Dr Ong Kong Swee dan Naib Pengerusi Persatuan Boling Amatur Sarawak (ABAS), Robert Lu.

 

Sumber: Utusan Borneo Online